Sabtu, 11 Disember 2010

Indahnya Ciptaan Tuhan


Alhamdulillah pagi tadi sempat solat subuh secara berjamaah dekat masjid, solat subuh yang mana paling berat untuk dilakukan berbanding dengan waktu-waktu solat yang lain. Kata-kata sindir yang biasa di dengar tentang solat subuh ni macam "seorang pengangkat berat boleh mengangkat berat beratus-ratus kilo, tapi bila nak mengangkat kelopak mata diawal pagi nak solat subuh belum tentu lagi boleh". 

Untuk mengangkat kelopak mata diawal pagi tidaklah memerlukan kekuatan sebagaimana mahu mengangkat barang yang beratus-ratus kilo, cuma yang penting ialah kehendak dan kekuatan rohani (iman) ditambah dengan hidayah dan taufik dari Allah. InsyaAllah kalau perkara-perkara itu kita miliki nescaya amat mudah untuk kita melakukannya, bukan sahaja dalam masalah nak bangun solat subuh berjamaah, perkara-perkara ibadah lain pun sama sahaja.

Masa tengah memecut laju kapcai menuju ke masjid, terpandang sebelah atas, subahanallah. bisik hati ini memandang kepada bintang-bintang yang gemerlapan. Cantiknya dan indahnya ciptaan tuhan, tidak selalu dapat melihat kecantikan ciptaan tuhan ini, kalau lihat pun kadang masa kita lihat tu hati tengah gelap, pabila tengah gelap, sudah pasti kita tidak dapat menghargai sesuatu yang di anugerahkan kepada kita.

Ketika memandang kearah langit yang dihiasi dengan gemerlapan, tercari pula dimana letaknya bulan yang sentiasa didampingi oleh bintang-bintang. depan-belakang, kiri-kanan cuba ditoleh mencari bulan, harapannya ingin melihat bulan purnama yang dikelilingi oleh bintang-bintang. namun pencarian membawa kepada sedikit kehampaan, mungkin sahaja tiba giliran bulan meninggalkan bintang-bintangnya untuk menemani matahari. bulan, bintang, matahari, bumi dan segala yang ada antaranya dan langit sudah ada jadual khusus yang ditetapkan kepada mereka, jadual yang direka khas oleh maha pencipta iaitu Allah subhanahu wa ta'ala. dengan jadual ini nescaya mereka tidak akan bertembung antara satu sama lain, begitulah bijaknya aturan Allah subhanahu wa ta'ala. 

Walaupun pada kali ini bintang-bintang gemerlipan tanpa cahaya purnama dari bulan, ia tetap cantik, tidak ada mana-mana makhluk yang boleh menciptakan sebagaimana ciptaan Allah ini.  esok mungkin kita sudah tiada di alam ini, esok mungkin kita sudah tidak dapat memandang apa-apa disebabkan nikmat mata sudah  ditarik, esok mungkin bulan dan bintang sudah tidak kelihatan kerana mendung atau esok mungkin hati kita sudah gelap dan tidak nampak apa-apa yang dianugerahkan kepada kita. harapanku agar ku terus dapat menikmati keindahan ciptaan Allah ini.

0 ulasan: